BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, November 22, 2009

Sempadan....

Apabila membuka matanya, Afrina mendapati dia berada di dalam sebuah bilik yang begitu asing sekali. Bukan di dalam biliknya lagi seperti sebelum dia melelapkan matanya malam tadi. Dia jadi bingung. Bermacam-macam soalan menerjah benaknya.
******
“Macam mana saya boleh berada kat sini Mak Su?”tanya Afrina kepada seorang perempuan yang meminta Afrina memanggilnya dengan panggilan Mak Su.
“Anak Mak Su,Razif jumpa Rina pengsan dekat belakang rumah kami dua hari lepas.”
“Kamu tak ingat ke macam mana kamu boleh ada kat sini?”tanya Pak Su pula setelah sekian lama mendiamkan diri.
“Saya langsung tak ingat apa-apa Pak Su.”jawab Afrina sambil memandang ke arah Pak Su.
“Sudahlah. Rina pergilah rehat dulu.Jangan fikirkan sangat perkara ni. Kamu baru saja sedar dari pengsan.”
“Baiklah Mak Su. Kalau macam tu, saya nak keluar ambil angin petang sekejap.”
“Pergilah. Tenangkan fikiran kamu tu.” Sejurus selepas itu, Afrina keluar untuk menikmati pemandangan pantai pada waktu petang.

******
“Fikirkan apa tu Wan? Dari tadi aku tengok kau macam tengah fikirkan sesuatu saja.” Teguran Haris mematikan lamunan Izwan.
“Aku risau betullah. Dah seminggu aku tak nampak Afrina.” Akhirnya Izwan meluahkan apa yang terbuku dihatinya kepada sahabat baiknya itu.
“Bercakap tentang Afrina, aku ada dengar berita yang kurang baik pasal dia. Aku sebenarnya tahu perkara tu semalam. Aku ingat nak bagitau semalam tapi tak sempat.”
“Perkara apa? Kenapa dengan Rina?” Izwan tidak sabar untuk mengetahui apa yang berlaku kepada Afrina.
“Semalam aku terserempak dengan Amirah dan Yana, kawan baik Rina. Waktu aku lalu depan Yana, aku terdengar dia cakap yang Rina kat hospital sekarang. Dia tengah koma.”
“Apa? Haris, betul ke apa yang kau cakap ni? Kau jangan main-main!” Izwan seakan tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Haris.
“Aku tak tahulah sama ada berita ini betul atau tidak.Tapi kalau kau nakkan kepastian tentang berita ini, kita pergi jumpa Amirah dan Yana sekarang.” Haris memberi cadangan kepada Izwan yang masih lagi terkejut mendengar berita tersebut. Tanpa membuang masa lagi, Izwan terus bersetuju dengan cadangan Haris itu. Mereka keluar dari kelas 4 Akaun untuk pergi ke kelas 4 Sains.
******
Petang itu, mereka berempat pergi melawat Afrina yang masih tidak sedarkan diri. Apabila mereka memasuki bilik di mana Afrina ditempatkan, kelihatan Puan Zarina,ibu Rina sedang mengusap lembut rambut anaknya. Selepas memberi salam kepada Puan Zarina, mereka menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Puan Zarina.
“Kamu berdua pun kawan Rina ke?” Puan Zarina bertanya kepada Izwan dan Haris kerana dia belum pernah bertemu dengan mereka. Dengan Amirah dan Yana pula, Puan Zarina sudah cukup kenal dengan mereka. Mereka berdua sering ke rumah Afrina untuk mengulangkaji pelajaran bersama-sama.
“Ya mak cik. Saya Izwan dan yang ini pula Haris.”
“Macam mana Rina boleh tiba-tiba saja koma mak cik?”tanya Yana seakan tidak sabar untuk mengetahui apa yang berlaku kepada Afrina.
“Pagi Sabtu lepas, mak cik cuba kejutkan dia tapi tak ada reaksi. Dia tak bangun pun. Lama sangat dia tidur. Mak cik rasa dia pengsan. Mak cik terus bawa dia pergi hospital. Doktor suruh tunggu sampai pagi esok. Tapi dia tak bangun juga. Waktu tu doktor sahkan yang dia koma.” Hiba sungguh hati Puan Zarina melihat keadaan anak tunggalnya itu.
“Sabarlah mak cik. Kita doa banyak-banyak.” Amirah cuba untuk menenangkan Puan Zarina.
“Mak cik dah makan?”tanya Yana pula selepas dilihatnya Puan Zarina sudah kembali tenang. Puan Zarina menggelengkan kepalanya.
“Jom kita turun makan sama-sama. Kami pun belum makan lagi ni.” Puan Zarina menerima pelawaan Yana itu. Dipelawa sekali Haris dan Izwan. Hanya Haris yang menurut. Izwan pula mengatakan dia masih lagi kenyang.

******
“Rina, bangunlah. Kami semua risaukan awak. Kawan-kawan awak di sekolah semua tanya tentang awak. Mereka semua risaukan awak. Pulanglah ke sini Rina. Saya tahu awak mampu mendengar apa yang saya katakan ini. Walau di manapun awak berada sekarang ini, pulanglah. Kasihanilah kami di sini. Kalau bukan kerana kami sekalipun, awak kasihanilah ibu awak itu. Sudah bengkak matanya menangis melihat keadaan awak sekarang.” Selama 2 bulan lebih Afrina koma, Izwan tidak putus-putus memberi kata-kata semangat dengan harapan Afrina akan sedar dari koma. Namun harapan hanya tinggal harapan. Afrina tetap kaku di atas katil.

******
Rina yang sedang leka memandang laut yang luas terbentang itu berasa terkejut apabila mendengar bisikan halus menerjah anak telinganya. Ini bukan kali pertama dia mengalami situasi seperti itu. Dia tertoleh-toleh ke setiap arah. Tetapi tiada sesiapa pun yang berada berhampiran dengannya. Lalu dia memakukan diri. Anak matanya bergerak-gerak. Dia berusaha mengenali bisikan siapakah yang sedang menusuk pendengarannya ketika itu.
******

“Rina diganggu sesuatu?”tanya Razif apabila melihat Afrina gelisah.
“Err......saya terdengar ada suara memanggil-manggil nama saya.” Afrina teragak-agak untuk memberitahu perkara itu kepada Razif.
“Sejak bila?” Razif seperti tertarik untuk mendengar apa yang ingin disampaikan oleh Afrina.
“Sejak dua minggu lepas.”
“Apa katanya?”tanya Razif lagi. Afrina pun menceritakan apa yang didengarinya sejak dua minggu lepas kepada Razif. Razif mengucap panjang. Dia seperti dapat menangkap apa yang berlaku sebenarnya.
“Saya rasa saya tahu apa yang terjadi kepada awak. Perkara ini mungkin kedengaran tak masuk akal. Tapi itulah hakikatnya. Awak sebenarnya telah memasuki Sempadan Mimpi. Sewaktu awak sedang tidur, roh awak telah melepasi Sempadan Mimpi. Keadaan ini menyebabkan roh awak sesat dan tidak dapat kembali ke jasad. Kiranya sekarang ini, awak sedang berada dalam alam mimpi awak. Atau lebih tepat lagi, awak sedang koma sekarang. 3 hari di sini bersamaan dengan satu minggu di dunia realiti awak. Maknanya, sudah 2 bulan lebih awak koma di sana.
“Apa? Mustahil!” Afrina sedikit terkejut mendengar penerangan Razif tentang apa yang terjadi ke atas dirinya ketika itu.
“Dengan izin Allah.......tidak ada yang mustahil.” Tenang sahaja nada suara yang keluar dari mulut Razif.
“Maknanya tempat ini tak wujud?”soal Afrina yang masih lagi kebingunggan.
“Tidak! Tempat ini wujud. Sama seperti yang saya katakan sebentar tadi. Sekarang roh awak tersesat ke tempat ini. Yang berada di depan saya sekarang ini adalah roh awak.”terang Razif
“Jadi macam mana saya nak pulang ke sana?” akhirnya Afrina terpengaruh juga dengan apa yang dikatakan oleh Razif.
“Awak kena keluar dari Sempadan Mimpi itu.”
“Tapi macam mana caranya?”
“Kita kena cari Sempadan Mimpi itu.”

******
“Saya pergi dulu.Mak Su....Pak Su.” Air mata yang ditahan dari tadi akhirnya gugur jua. Keluarga tersebut telah diangggap seperti keluarganya sendiri. Jasa mereka terhadap Afrina tidak mungkin terluput sama sekali.
“Jaga diri baik-baik.”ujar Razif setelah dia yakin bahawa di tempat itulah terletaknya Sempadan Mimpi Afrina.

******
Di hospital pula, Izwan sedang menatap wajah Afrina yang kelihatan sedikit cengkung. Hampir setiap hari Izwan melawat Afrina sepanjang 2 bulan Afrina berada dalam koma. Tiba-tiba kelihatan kelopak mata Afrina bergerak-gerak. Tanpa membuang masa lagi, Izwan keluar untuk memaklumkan kejadian itu kepada doktor yang merawat Afrina.
******
“Macam mana dengan anak saya doktor? Betul ke dia dah sedar?”tanya Puan Zarina sejurus ternampak doktor keluar dari bilik anaknya.
“Alhamdulillah. Anak Puan Zarina dah selamat sekarang.” Puan Zarina memanjatkan kesyukurannya kepada ILAHI. Dia benar-benar gembira.

******
“Hai Rina. Kau sihat tak? Kami semua rindukan kau tau! Terutama sekali si Izwan tu! Kau tau tak, selama 2 bulan lebih kau koma, tiap-tiap hari dia datang melawat kau.” Riuh sungguh suasana kelas 4 Sains menyambut kepulangan Afrina selepas lebih 2 bulan dia koma.
“Rina, ke mana kau pergi waktu kau koma? Aku dengar kalau orang koma, dia akan pergi suatu tempat. Betul ke macam tu?”tanya salah seorang rakan sekelas Afrina. Afrina hanya tersenyum mendengar soalan tersebut. Soalan tersebut dibiarkan sepi tanpa jawapan. Dalam hatinya, dia berkata,
‘Biarlah aku dan Allah saja yang tahu ke mana aku pergi waktu aku koma. Mereka tak perlu tahu tentang perkara ini.’

******
Pada waktu rehat, Afrina tersempak dengan Izwan.
“Hai Izwan.”
“Hai Rina. Dah sihat?”tanya Izwan selepas terdengar suara Afrina.
“Alhamdulillah. Saya dah sihat.”jawab Afrina.
“Saya pergi kantin dululah. Nak makan sekejap.”sambung Afrina. Afrina berlalu ke kantin selepas Izwan menganggukkan kepalanya.

******
Di dalam hati, Afrina memanjatkan kesyukuran kepada Allah.
‘Terima kasih Ya Allah kerana Kau telah mengembalikan aku ke sini. Aku tidak mungkin lupakan jasa Mak Su, Pak Su dan Razif sewaktu aku berada di ‘sana’. Kenangan bersama mereka pun tidak akan aku lupakan walaupun hanya 3 minggu aku berada di sana.’

*TAMAT*

(ni cerpen aku yg ke2...aku buat cerpen wktu nk msuk pertandigan menulis esei bahasa melayu kat skolah thn ni...alhmdulillah la...dpt tmpt p'tma...mgkn sbb x byk pnyrtaan kot,sbb tu la aku leh mng....hehe..tp aku ttp b'syukur ...citer ni pun dpt msk dlm mjlh skola aku...)

0 comments: